"Kadang-kadang, kegelapan tidak datang melalui jeritan. Ia datang dalam bentuk bisikan yang menyebar dari bibir orang lain, kepada hati yang belum bersedia untuk terluka.”
Hari itu, saya seperti biasa, tenggelam dalam dunia kerja yang tak pernah habis. Menyelesaikan tugasan demi tugasan, menyediakan maklum balas demi maklum balas, dan menyiapkan proposal paper yang masih tertangguh. Dunia saya ketika itu hanyalah antara jari, papan kekunci dan skrin komputer.
Tanpa saya sedar dalam diam, satu naratif lain sedang berlegar di luar bilik.
Rakan sebilik saya... seseorang yang sebelum ini saya anggap teman baik yang rapat dan dipercayai, mula keluar dari bilik dan membina naratif berdasarkan sangkaan yang diciptanya sendiri. Dia memberitahu beberapa rakan sekerja lain (yang juga baik dengan saya) bahawa saya marah padanya. Sedangkan hakikatnya, saya hanya diam kerana fokus pada kerja yang bertimbun.
Saya diam, bukan kerana marah. Saya diam kerana saya perlu ruang untuk fokus.
Namun, diam saya dijadikan naratif, satu cerita yang dibina atas persepsi dan emosi yang saya sendiri tidak tahu punca kewujudannya. Dari situ, saya mula terasa seakan-akan saya menjadi watak antagonis dalam cerita yang sedang dicanangnya.
Apabila saya masuk ke pejabat pada hari-hari berikutnya, suasana mula berubah. Dia tidak lagi menegur saya seperti biasa. Dia senyap, memalingkan wajah, dan kemudian... hubungan kami mula renggang — bukan kerana konflik terbuka, tapi kerana manipulasi senyap yang meresap.
Saya mula tertanya-tanya:
-
Apa salah saya?
-
Adakah saya melakukan apa-apa kesilapan?
-
Patutkah saya minta maaf walaupun saya tak tahu apa yang saya lakukan?
Saya mula menyalahkan diri sendiri.
Tapi yang paling menyakitkan ialah:
Setiap kali ada rakan lain datang ke bilik kami, terutamanya rakan yang dia jadikan tempat bercerita tentang saya, dia akan tiba-tiba berubah. Dia menegur saya dengan nada yang sangat mesra, kadang-kadang berlebih-lebihan, seolah-olah tiada apa-apa pernah berlaku antara kami. Ketawa, bertanya khabar, dan berlakon mesra di hadapan mereka.
Saya di dalam bilik itu, terduduk dalam diam.
Keliru.
Perit.
Bingung.
Apakah ini kebaikan atau kepalsuan?
Kenapa saya yang rasa jahat bila dia nampak baik di mata orang lain?
Sekarang barulah saya tahu, itu dinamakan “impression management” — satu bentuk pengawalan imej oleh individu narsis dan borderline, yang mahir mencipta persona berbeza di hadapan orang lain bagi memastikan mereka kekal dilihat sebagai pihak yang 'disayangi' dan 'tidak bersalah'. Sementara saya — mangsa sebenar — mula kelihatan seperti bermasalah, kerana reaksi saya yang janggal atau membisu di hadapan semua.
💭 Nota Refleksi
Saat itu, saya mula sedar bahawa dalam ruang yang sama, saya melihat dua wajah yang berbeza.
Satu wajah untuk saya — dingin, menyendiri, menghukum dengan diam.
Satu wajah lagi untuk mereka — ceria, penyayang, mesra.
Saya seperti sedang hidup dalam dua dunia — dunia saya yang sunyi dan penuh rasa bersalah, dan dunia orang lain yang melihat saya dari kaca mata cerita palsu yang disuap secara perlahan.
Saya belum tahu ketika itu...
Bahawa itu adalah bentuk awal emotional abuse yang akan meninggalkan kesan mendalam dalam kepercayaan dan keutuhan diri saya.
🌼 Untuk Pembaca yang Mungkin Pernah Lalui Perkara Sama
Jika anda pernah keliru dengan seseorang yang berubah-ubah — mesra ketika ada orang lain, tetapi dingin saat bersendirian dengan anda — ketahuilah, itu bukan salah anda.
Itu bukan 'perasaan anda saja'.
Ia benar! Dan ia beracun.
Comments
Post a Comment