Saya pada asalnya bukanlah seorang
yang gemar mencampuri urusan orang lain. Saya selesa menjaga sempadan, dan
membiarkan orang hidup dengan pilihan mereka sendiri. Tapi segalanya berubah,
sejak saya menjadi mangsa kepada seorang rakan yang mempunyai ciri-ciri Narcissistic
Personality Disorder (NPD) dan Borderline Personality Disorder (BPD).
Ada
suatu desakan emosi dari dalam diri saya untuk bercerita tentang dia.
Bukan kerana mahu membuka aib. Bukan juga untuk memburukkan. Tetapi kerana saya ingin orang lain tahu wajah sebenarnya yang mereka tidak pernah lihat. Wajah yang hanya dipamerkan di sebalik pintu tertutup. Di situlah tersembunyi sisi yang sangat toksik dan manipulatif, sisi yang selama ini merobek jiwa saya dalam diam.
Dia dipuji, dipuja dan disanjung tinggi. Sedangkan saya yang pernah menjadi teman sebilik, sepasukan, dan saksi kepada sisi gelapnya menanggung luka yang tiada siapa tahu. Saya tahu saya bukan satu-satunya mangsa. Ramai lagi di luar sana yang pernah melalui peritnya berada dekat dengan individu yang manipulatif, penuh drama emosi dan memerlukan perhatian tanpa henti.
Saya mengumpul keberanian dan bertanya kepada pensyarah saya, yang juga seorang kaunselor, “Doktor, kenapa saya ada rasa ingin cerita tentang dia kepada orang lain?”
Jawapan Doktor yang tenang dan penuh empati membuatkan saya benar-benar rasa difahami, “Perasaan itu biasa bagi mangsa NPD. Ia dinamakan sebagai ‘validation-seeking behaviour’. Awak sedang mencari pengesahan bahawa apa yang awak lalui itu benar dan bukan awak mereka-reka cerita. Awak hanya mahu orang tahu bahawa awak terluka.”
Saya diam. Hati saya rasa tersentuh dengan kebenaran itu. Ya, saya bukan sekadar kecewa, tetapi saya sedang mencari makna di sebalik luka. Saya sedang berusaha membuktikan pada diri sendiri bahawa penderitaan itu sah, bukan ilusi. Ya, saya ingin dunia tahu bahawa saya sedang terluka. Saya mencari validasi.
Namun pensyarah saya juga meninggalkan saya dengan pesan yang sangat dalam, “Kalau awak ikut rasa itu, awak akan lebih terluka. Sebab awak mungkin akan disalah erti. Biarkan masa dan Allah yang buka mata mereka. Biarkan mereka kenal dia sendiri.”
Kata-kata itu menjadi titik mula kepada keazaman dalam diri saya. Saya belajar bahawa kadang-kadang diam bukan tanda kalah. Diam adalah bentuk paling tenang dalam mempertahankan maruah. Diam itu pelindung antara saya dan emosi yang boleh meranapkan harga diri. Saya pilih untuk diam, bukan kerana saya kalah tetapi kerana saya memilih untuk pulih.
📃 Nota Psikologi
- Kecederaan Narcissistic Abuse: Mangsa sering melalui gaslighting, emotional invalidation, dan manipulasi. Ini mencetuskan trauma dalaman dan keinginan kuat untuk mengesahkan realiti mereka melalui orang luar (external validation).
- Kecenderungan kepada hypervigilance: Mangsa NPD selalunya menjadi terlalu peka dan curiga terhadap sebarang interaksi sosial kerana pernah dimanipulasi secara halus. Maka, menceritakan tentang pelaku menjadi satu bentuk ‘perlindungan awal’ kepada diri mereka.
- Moral Injury dan perasaan tidak adil: Apabila pelaku NPD masih disanjung, mangsa berasa kecewa kerana pelakuan jahat itu ‘tidak dihukum’. Rasa ingin mendedahkan kebenaran muncul sebagai reaksi kepada moral dissonance yang menyakitkan.
- Tulis dalam jurnal peribadi atau blog refleksi (tanpa nama): Salurkan emosi dengan menulis, bukan menyebar. Ia bukan sahaja melegakan, bahkan membina ketahanan emosi.
- Bina inner validation dan self-affirmation: Latih diri untuk berkata dalam hati, “Saya tahu apa yang saya lalui. Saya sedar.” Pengiktirafan dalaman jauh lebih kuat dari pengesahan luaran.
- Terapkan prinsip radical acceptance (Penerimaan radikal): Terima bahawa orang lain mungkin akan mengetahui sisi sebenar seseorang itu pada masa yang berbeza. Kita tidak perlu memaksa kesedaran itu.
- Fokus kepada healing bukan revenge: Tanyakan pada diri, “Adakah ini membantu saya sembuh, atau hanya membuka luka?” Soalan ini membantu kita mengawal impuls untuk bercerita.
- Bersandar kepada Allah sebagai As-Syafi (Penyembuh): Zikir, doa dan membaca ayat-ayat syifa' adalah terapi rohani yang mengimbangi emosi yang tidak sepatutnya.
Comments
Post a Comment