Petang itu, langit redup, seperti sedang menyimpan rahsia. Saya dipanggil ke bilik pengarah bersama dua orang rakan lain. Kami dimaklumkan bakal ditukarkan ke satu unit yang lebih mencabar dan mengendalikan urusan kerja di peringkat antarabangsa. Memo akan menyusul dalam masa 24 jam. Ia berita yang besar — mencabar, tapi juga menggembirakan. Saya menerima berita itu dengan syukur atas kepercayaan yang diberikan.
Saya mula mengumpul kekuatan dengan Kalam Allah. Dalam kebimbangan, secara senyap-senyap, saya ulang-ulang ayat Surah Insyirah, ayat 7:
فَإِذَا فَرَغْتَ فَانْصَبْ
"Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain."
Saya pujuk hati.
"Mungkin inilah masanya. Aku dah selesai beri sepenuhnya pada seksyen ini. Kini aku perlu berpindah dan bina semula kekuatan di tempat baharu. Allah tak pernah suruh kita statik. Dia mahu kita melangkah. Dan setiap langkah, Dia pasti iringi dengan rahmat-Nya."
Sebaik sahaja kembali ke bilik, saya mengambil keputusan untuk berkongsi berita itu dengan rakan sebilik sebagai tanda penghormatan kepadanya, biarlah dia menjadi orang pertama yang tahu. Selama ini pun kami sentiasa berkongsi ruang, masa, bahkan apa jua kisah hidup. Maka sewajarnya dia menjadi orang pertama yang tahu.
--------
Pulang ke rumah, saya melalui malam itu dengan hati yang gamam. Saya ulang-ulang ayat Surah Insyirah sebagai zikir penenang. Saya bersiap dalam hati untuk meninggalkan zon selesa dan mengorak langkah ke cawangan baharu.
Namun, esoknya segalanya berubah.
Memo arahan yang dinanti-nanti akhirnya terpapar dalam e-mel.
Namun, nama saya... tiada dalam memo itu.
Saya tidak jadi ditukarkan.
Saya terkedu.
Dalam hati, satu suara tertanya-tanya:
“Mengapa saya tidak jadi ditukarkan? Adakah ada tangan-tangan yang telah mengubah haluan yang telah ditetapkan?”
Tidak lama kemudian, immediate bos memanggil saya dan menceritakan apa yang berlaku. Ada kisah yang saya tidak tahu. Rupanya tidak lama selepas saya berkongsi berita itu, dia mengajak seorang rakan lain — yang saya tahu menjadi tempat curahan ceritanya — lalu terus ke bilik immediate bos kami. Saya tidak diberitahu apa-apa secara langsung, tetapi saya dapat tahu bahawa mereka memberikan pelbagai justifikasi agar saya tidak ditukarkan. Mereka menyusun hujah dan menyuarakan kebimbangan — kononnya saya tidak boleh ditukarkan kerana tugas-tugas di seksyen saya terlalu khusus dan hanya saya yang mampu melaksanakannya. Jika saya ditukarkan, akan lumpuhlah kelancaran kerja di cawangan itu.
Apabila saya dimaklumkan hal itu, saya tidak tahu apa yang lebih menyakitkan — harapan yang hancur, atau kepercayaan yang dikhianati oleh orang yang saya lindungi dari segala sangka buruk.
Tapi jauh di sudut hati, saya tahu... itu bukan kerana bimbangkan kualiti kerja jabatan, tetapi itu semua kerana mereka sendiri enggan memikul beban tugas yang mencabar. Mereka takut hilang zon selesa. Yang lebih memeritkan, mereka tidak berbincang dengan saya sebagai rakan secawangan. Tidak bertanya pun bagaimana perasaan saya. Mereka hanya bertindak. Dalam diam saya mula sedar, keutamaan mereka bukan saya, tetapi diri mereka sendiri.
Dan saya? Saya yang sepatutnya gembira… hanya duduk termenung di sisi katil, memujuk diri sendiri.
"Takkanlah dia nak sabotaj aku? Kami kan baik. Kami makan tengah hari sama-sama setiap hari... berkongsi cerita, mimpi dan rahsia. Mungkin dia cuma risau..."
Saya masih cuba untuk tidak cepat menilai. Saya cuba rasional, cuba pertahankan dia dalam hati saya. Tapi rasa sakit itu tidak mahu surut. Luka itu kini benar-benar terasa.
Saya duduk lama di atas sejadah petang itu, diam-diam menahan debaran dan kecewa yang sukar diterjemahkan. Saya cuba menerima hakikat saya tidak jadi ditukarkan. Hati saya separuh lega, separuh terperangkap.
Saya tak tahu bagaimana mahu merawat rasa yang bercampur-aduk: dihentikan dari melangkah ke ruang baharu yang telah saya kumpul kekuatan untuk hadapi, tetapi dalam masa yang sama masih terikat di ruang yang kian menyesakkan.
Petang itu juga, ada seseorang datang mendekat dan berbisik perlahan di telinga hati saya:
"Ini semua kehendak Allah. Terimalah dengan redha."
Saya cuba berbisik pada hati sendiri, "Mungkin ini juga satu bentuk perlindungan, walau kita tak nampak sekarang."
Saya tunduk. Ya Allah… saya lupa bahawa tak semua kehilangan adalah musibah dan tak semua yang tertangguh itu sia-sia. Mungkin, ini bukan masa saya untuk pergi. Atau mungkin, Allah mahu saya melihat lebih banyak kebenaran sebelum saya benar-benar melangkah keluar.
Saya cuba mengumpul kekuatan. Saya tak tahu apa yang menanti selepas ini, tetapi saya tahu… saya tidak keseorangan. Allah ada.
Di saat semua orang sibuk mempertikaikan kenapa saya tak jadi ditukarkan, saya pula belajar untuk merawat hati yang terluka.
"Sakit yang datang daripada pengkhianatan seorang sahabat bukan hanya menguji kesabaran. Ia menguji apakah kita masih sudi percaya, bukan kepada manusia, tetapi kepada rancangan Allah yang Maha Mengetahui."
Hope you have a great day afther this sis. Hugs
ReplyDelete