Beberapa bulan berlalu. Selepas episod tidak jadi bertukar, saya cuba fokus pada kerja, walau hati masih berperang dengan rasa kecewa yang saya simpan diam-diam. Saya tidak mahu berdendam. Saya tidak mahu menyimpan prasangka. Saya hanya mahu meneruskan hidup dengan tenang.
Kemudian, datang satu khabar yang menyentuh jiwa saya — bos di Cawangan yang menguruskan hal ehwal kakitangan menyatakan hasrat untuk mengambil saya ke cawangan beliau. Nama saya disebut secara terbuka sebagai calon utama. Malah, perkara itu dibawa ke dalam mesyuarat bersama pengarah dan telah dipersetujui bersama. Saya dimaklumkan bahawa pertukaran saya ke cawangan tersebut telah pun diluluskan. Desas-desu juga mula tersebar dalam kalangan kakitangan bahagian.
Saat itu, saya tidak minta. Tetapi apabila dipilih, saya cuba redha dan mula bersedia dari segi mental dan emosi. Saya mula membayangkan ruang kerja baharu, tugas-tugas yang akan dipikul, suasana yang mungkin memberi nafas baharu kepada diri saya. Saya cuba yakinkan hati dengan ayat yang sering menjadi peneguh dalam hidup saya:
فَإِذَا فَرَغْتَ فَانصَبْ
"Maka apabila engkau telah selesai (dari sesuatu urusan), maka kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain." (Surah Al-Insyirah: 7)
Saya mengambil berita itu sebagai isyarat dari Allah — bahawa sudah tiba masa untuk saya meninggalkan tempat lama yang saya sayangi, dan melangkah ke tempat baharu yang Allah pilihkan.
Tetapi tak lama selepas berita itu tersebar, ada sesuatu yang ganjil berlaku.
Keputusan yang telah dipersetujui itu seolah-olah terhenti di tengah jalan. Saya tidak dimaklumkan sebarang perubahan, tetapi saya mula mendengar desas-desus. Seperti biasa, suara itu datang dalam diam, penuh teka-teki. Dan akhirnya, memo pertukaran pun keluar.
Saya buka e-mel perlahan-lahan.
Allahuakbar.
Saya tutup e-mel itu perlahan-lahan. Dada saya sesak, tetapi saya tahan. Saya pandang ke luar tingkap. Mata saya berkaca, tetapi tiada air mata yang gugur. Kerana rasanya, air mata saya sudah lama kering untuk episod seperti ini.
Saya tak tahu apa yang berlaku. Saya tak mahu menuduh sesiapa. Tetapi hati saya tahu… ini bukan kebetulan semata-mata.
Dalam gelora rasa yang bercampur baur, saya hanya mampu ulang dalam hati:
“Ini semua kehendak Allah… Kena terima. Kena redha. Kena lepaskan.”
Kerana bila Allah takdirkan sesuatu itu bukan milik saya, walau sudah ditulis di kertas mesyuarat dan dipersetujui beramai-ramai, ia tetap akan digantikan oleh sesuatu yang lebih tersembunyi dari pengetahuan saya.
Saya belajar sesuatu — dalam diam manusia merancang, tetapi Allah juga merancang. Dan sebaik-baik perancang, adalah Dia.
Dalam ruang sepi selepas segalanya berlalu, saya teringat hikmah agung dari seorang wali Allah, Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari, dalam al-Hikam-nya:
"Janganlah engkau berdukacita kerana tidak mendapat sesuatu yang engkau inginkan, kerana ketiadaan itu mungkin lebih baik bagimu. Dan janganlah terlalu gembira dengan apa yang engkau peroleh, kerana ia mungkin ujian buatmu."
Saya genggam hikmah itu erat-erat. Dalam kehidupan, tidak semua yang kita harapkan menjadi kenyataan. Kadang-kadang, apa yang ditarik daripada kita bukanlah satu kehilangan, tetapi satu perlindungan. Satu penjagaan halus daripada Allah agar kita tidak masuk ke lorong yang penuh duri meskipun kita menyangka ia lorong bertabur bunga.
Lalu, saya panjatkan doa dalam hati yang masih belajar redha:
"Ya Allah, andai ini bukan untukku, maka tenangkanlah hatiku agar tidak lagi berharap. Dan jika dalam ketiadaan ini ada penjagaan-Mu, maka kuatkanlah kakiku agar tidak melangkah kembali kepada yang telah Engkau jauhkan daripadaku."
Secebis puisi buat menenangkan hati;
Bila mereka mengambil, saya belajar melepaskan.
Bila mereka mendahului, saya belajar merendah.
Bila mereka diberi ruang, saya belajar berserah.
Bila saya tidak dipilih, saya tahu —
Allah sedang memilihkan sesuatu yang lebih tulus untuk saya.
Saya bukan kalah. Saya hanya diselamatkan. Saya redha… Kerana Allah tahu apa yang saya tidak tahu.
Comments
Post a Comment