Saya masih ingat… selepas episod pertukaran cawangan yang tidak menjadi, saya cuba menenangkan hati yang remuk. Ada pergelutan dalam diri. Antara kecewa dan ingin menerima. Namun akhirnya saya memilih jalan yang lebih sunyi tetapi selamat—berdamai dengan takdir.
Saya mengajar diri saya untuk memaafkan, walaupun hakikatnya luka itu belum benar-benar sembuh. Seperti menutup luka terbuka dengan kapas dan harapan—saya menyangka semuanya telah selesai. Tetapi rupanya belum.
Beberapa bulan kemudian, pengarah kami bertukar. Pengarah baharu yang hadir membawa wajah tenang dan bicara penuh harapan. Saya lihat itu sebagai petanda perubahan. Satu lembaran baru yang barangkali akan lebih jernih. Saya cuba melangkah dengan prasangka baik.
Namun di balik tabir yang tidak saya lihat, berlaku satu lagi gerakan senyap. Bekas rakan sebilik saya—orang yang dahulu menentang keras pertukaran saya—telah terlebih dahulu menemui pengarah yang baharu. Secara peribadi, dia memohon untuk ditukarkan ke cawangan antarabangsa, iaitu cawangan yang pernah dicadangkan untuk saya sebelum ini. Cawangan yang saya relakan untuk terus melupakannya demi menjaga suasana kerja yang baik.
Ironinya… dialah orang yang dahulu memberi seribu satu alasan mengapa saya tidak boleh ditukarkan. Kononnya, saya tulang belakang seksyen. Tiada siapa mampu menggantikan saya. Tapi apabila peluang yang sama muncul dalam bentuk yang lain, dia menjadi orang pertama yang meluru menyambarnya.
Saya terduduk dalam diam.
Bukan kerana cawangan itu penting untuk saya… tetapi kerana luka yang pernah saya simpan, kembali pedih disentuh.
Namun, dalam hikmah yang halus, permohonannya ditolak. Pengarah baharu sudah mempunyai calon lain yang telah dikenal pasti. Maka tempat itu… bukan untuk dia. Dan bukan juga untuk saya. Yang tinggal hanyalah peristiwa yang mengajar saya tentang wajah sebenar manusia.
✿ Merenung Dalam Kaca Psikologi
Ketika saya cuba memahami perbuatannya, saya kembali menyelami ilmu psikologi. Perilaku sebegini lazimnya dikenali sebagai sebahagian daripada "manipulatif adaptation"—perilaku yang muncul daripada corak personaliti yang sarat dengan traits narcissistic.
Dalam psikologi klinikal, individu sebegini sering berusaha mencipta naratif tertentu di hadapan pihak berkuasa. Mereka kelihatan menyokong di permukaan, tetapi dalam diam menyusun strategi agar imej mereka sentiasa lebih menonjol. Mereka mahu kawalan. Mereka mahu pengiktirafan. Dan jika perlu, mereka akan menjatuhkan sesiapa sahaja yang pernah menjadi ancaman—termasuk sahabat sendiri.
Mereka mengamalkan strategi ‘gaslighting’ secara pasif, mempermainkan persepsi sekeliling hingga yang dizalimi pun kelihatan bersalah, dan mereka kelihatan bijak, setia, dan layak.
Saya terdiam panjang.
Adakah selama ini saya terlalu mempercayai orang?
Adakah saya terlalu naif dalam bersangka baik?
Atau… adakah ini cara Allah mendidik saya?
✿ Disulam Hikmah dan Redha
Malam itu, saya duduk bersendirian. Langit terasa dekat. Hati pula terasa jauh.
Tiba-tiba muncul kakak saya memberi semangat. Kata-katanya ringkas, tapi mendalam:
“Kalau sesuatu itu bukan rezeki kita, Allah akan tarik semula… walau bagaimana cara kita memegangnya. Bertenang. Ada sesuatu yang lebih baik, tapi Allah masih menyimpannya…”
Comments
Post a Comment