Kerana yang kita pertahankan bukan mereka… tapi kenangan dan harapan yang pernah kita bina.
Ada satu lagi episod yang masih melekat dalam ingatan saya. Selepas hari itu, saya dipanggil lagi oleh Bos. Wajahnya tenang, tetapi matanya seakan menyimpan sesuatu yang sukar diungkapkan dengan terus terang. Saya duduk berhadapan, dengan dada yang mula terasa sesak — naluri saya menangkap bahawa ini bukan sekadar perbincangan kerja biasa.
Bos membuka bicara perlahan.
"Saya pun pelik, kenapa dia selalu datang dan persoal kerja-kerja yang awak buat. Sedangkan semua tugasan awak selesai dan teratur. Realitinya, kerja yang tak siap itu kerja dia."
Saya terkedu. Masih ada lagi? Tak habis lagi?
Sukar untuk saya menggambarkan perasaan ketika itu. Terkejut? Ya. Tapi yang lebih kuat… saya rasa ingin melindunginya. Secara spontan, saya masih mempertahankannya.
“Mungkin dia cuma nak bagi cadangan… mungkin dia risau bos salah faham. Kami pun selalu bincang kerja sama-sama…”
Saya cari-cari alasan untuk menjernihkan tanggapan. Bukan kerana saya buta dengan fakta, tapi kerana hati saya belum sedia menerima kebenaran.
🧠 Nota Psikologi #1: Denial sebagai Mekanisme Pertahanan [Defense Mechanism]
Penafian (denial) adalah salah satu mekanisme pertahanan (Defense Mechanism) yang berlaku apabila seseorang tidak mampu menerima realiti yang menyakitkan. Ia bukan kelemahan, tapi refleks semula jadi untuk mengelakkan runtuhnya emosi dalam sekelip mata. Kita menyangka dengan ‘tidak mengaku’ kebenaran itu, kita dapat mengekalkan kestabilan — walau hanya sementara.
Saya keluar dari bilik bos dengan kepala yang berserabut, tapi hati saya tetap mencari ruang untuk terus mempercayai dia. Lagipun, kami sudah berkongsi terlalu banyak — makan tengahari sama-sama, tertawa tentang hal-hal kecil, saling menyimpan rahsia dan luahan hati. Takkan dia sanggup tikam saya dari belakang?
Saya meyakinkan diri bahawa mungkin saya yang tersalah dengar. Mungkin bos tersalah tafsir. Mungkin… mungkin…
To believe in someone is a choice.
But to believe in someone who repeatedly wounds you —
that is a form of self-betrayal we rarely recognise.
🧠 [Nota Psikologi #2: Trauma Bonding]
Trauma bonding merujuk kepada ikatan emosi yang terbina antara mangsa dan individu yang menyakiti kita, biasanya dalam hubungan yang tidak seimbang. Mangsa sukar melepaskan kerana dia terikat pada saat-saat "baik" yang pernah wujud — walaupun ia sudah semakin jarang berlaku. Ini membuatkan mangsa terus berharap dan menafikan corak penyalahgunaan emosi yang berulang.
Dalam diam, saya masih cuba menjadi pendamai dalam cerita yang saya sendiri tidak tahu hujung pangkalnya. Saya tidak tahu, saya sebenarnya sedang mempertahankan seseorang… yang tidak mempertahankan saya di belakang.
Dan itulah titik pertama saya belajar — kebaikan yang tidak disertai kebijaksanaan… boleh menjadi perangkap pada jiwa sendiri.
Comments
Post a Comment