Kadang-kadang yang melukakan bukanlah peristiwa besar. Tapi babak kecil yang disusun penuh muslihat oleh seseorang yang kita sangka teman baik.
Suatu ketika dahulu, dua orang rakan sekerja (wanita) ditukarkan ke kementerian lain. Tempat mereka, digantikan oleh dua pegawai lelaki. Maka, demi menjaga adab dan keselesaan semua pihak, cadangan paling wajar ialah agar pegawai wanita dari bilik sebelah berpindah ke bilik sahabatnya — yang kini kosong.
Selesai, kan?
Namun sesuatu yang janggal berlaku. Pegawai wanita dari bilik sebelah datang bertemu kami.
Dengan gaya tenang dan wajah prihatin, dia berkata:
“Awak berdua okey tak kalau kena tukar bilik?"
"Kenapa asyik kami yang kena bertukar?" Jawabnya penuh belas tapi terpancar lakonannya.
Kemudian dia menyambung, "Saya ikut keputusan awaklah… sebab saya hormat awak.” Sambil memandang ke arah saya dengan pandangan tidak bersalah.
Nada suaranya lembut. Mimik wajahnya meyakinkan. Kata-katanya seolah-olah memberikan pilihan dan kuasa kepada saya.
Saya cuma mengiyakan dan bersetuju saja dengan cadangan tersebut.
Selang beberapa hari selepas itu, saya mendapat tahu bahawa dia sebenarnya telah lebih awal memaklumkan kepada staf pentadbiran hasratnya untuk berpindah ke bilik sahabatnya itu. Keputusan itu sudah dibuat sebelum rakan itu membuka mulut di hadapan kami.
Waktu itu, saya mula melihatnya dari lensa Psikologi.
🔹 Trait BPD: Di sebalik itu pula, terdapat unsur fear of abandonment atau ketakutan ditinggalkan. Kemungkinan wujud kerisauan jika dia tidak segera memastikan dirinya kekal “rapat” dengan sahabat baiknya (yang biliknya dikosongkan), maka kedudukan hubungan itu akan terancam. Maka, secara impulsif, dia memastikan dirinya berpindah ke bilik itu — sebagai bentuk secure attachment substitute.
🔹 Gaslighting kecil berlaku apabila dia mempamerkan dirinya di hadapan saya seolah-olah tidak tahu apa-apa dan menjadikan saya sebagai "pembuat keputusan". Ini menyebabkan saya terperangkap dalam dilema — jika saya membantah, saya akan kelihatan seperti tidak berkompromi. Jika saya bersetuju, dia akan kelihatan sebagai pihak yang ‘mengalah’ demi keharmonian. Walhal segalanya telah dirancang.
🔹 Splitting – Dalam psikologi BPD, ada kecenderungan melihat orang lain dalam dua kategori ekstrem: baik sepenuhnya atau jahat sepenuhnya. Dalam konteks ini, sahabat yang menjadi tempat dia bercerita adalah ‘yang baik’, yang perlu dia jaga. Maka segala ruang yang mendekatkan mereka — seperti berkongsi bilik — menjadi keutamaan, walaupun terpaksa mengenepikan orang lain dengan cara yang licik dan tersembunyi.
Saya termenung lama selepas mengetahui kebenaran itu. Mungkin bagi orang lain ini sekadar isu tempat duduk dan susun atur pejabat. Tapi bagi saya — ini tentang kejujuran, integriti, dan batas akhlak.
Saya cuba mencari ketenangan di sebalik kesakitan itu, lalu saya teringat satu pesanan indah daripada Syaikh Ibn 'Athaillah as-Sakandari:
"Rehatkanlah hatimu daripada merancang, kerana apa yang telah Allah rancang untukmu lebih baik daripada apa yang engkau rancangkan untuk dirimu sendiri.”
Mungkin saya kehilangan bilik. Tapi saya tidak kehilangan panduan.
Mungkin saya dikhianati dalam hal kecil. Tapi Allah sedang membesarkan hati saya untuk memahami sesuatu yang lebih besar: bahawa kita tidak boleh bergantung pada makhluk dalam mendapatkan tempat — kerana tempat yang sebenar telah pun Allah tetapkan buat kita. ❤️
Comments
Post a Comment