Ada satu bentuk keletihan emosi yang tidak mudah dijelaskan. Ia bukan kerana kita disakiti secara langsung, tetapi kerana kita terperangkap dalam suasana yang beracun secara halus, di mana kita melihat dan mendengar seseorang sering menanam syak wasangka terhadap orang lain — hari demi hari.
Individu yang memiliki BPD (Borderline Personality Disorder) dan NPD (Narcissistic Personality Disorder), seringkali mengalami paranoia ringan (mild paranoid ideation) — terutama ketika emosinya tidak stabil.
Dia melihat orang lain sebagai ancaman, walau hanya kerana perkara kecil: “kenapa dia tak senyum tadi?”, “kenapa dia jawab/cakap macam tu?”, “kenapa semua orang puji dia?”.
Lalu dia mula membina naratif dalam minda sendiri, naratif yang bukan berdasarkan realiti, tetapi berdasarkan emosi dalamannya yang berkecamuk.
Yang menyedihkan, naratif itu sering diceritakan kepada kita. Dan sebagai insan yang empatik seperti saya, setiap kali mendengar sangkaan-sangkaan itu, saya bukan sahaja jadi letih... tetapi mula ada rasa takut.
Takut kalau satu hari nanti, kita pula akan menjadi sasaran.
Takut kalau senyuman kita disalah tafsir.
Takut kalau kejayaan kecil kita dianggap saingan.
Saya mula takut untuk menjadi diri sendiri.
Inilah yang dinamakan sebagai emotional contagion — apabila emosi orang lain yang kuat, terutamanya emosi negatif, mula ‘menjangkiti’ kita yang berada di sekelilingnya.
Tanpa sedar, kita mula hidup dalam mode “defensif”, terlalu berjaga-jaga, tidak boleh spontan, malah kehilangan suara kita sendiri.
Dan lebih parah, apabila kita diasak dengan sangkaan-sangkaan itu berulang kali, otak kita boleh sampai ke tahap hypervigilance — iaitu satu bentuk kewaspadaan yang berlebihan kerana kita terlalu takut pada ‘kemungkinan’ yang belum berlaku. Kita seperti hidup dalam mode bertahan (survival mode) — walaupun tiada serangan sebenar.
🕊️ Kita diajar untuk berhati-hati dengan persekitaran yang memudaratkan jiwa. Apabila terlalu lama berada dalam kalangan orang yang sentiasa buruk sangka, kita mungkin akan turut kehilangan husnuz zhan terhadap orang lain — bahkan terhadap Allah.
---
Hikmah di Sebalik Ketakutan Ini
Saya berpesan pada diri sendiri, ketahuilah… ketakutan itu sendiri adalah petanda bahawa hati kita masih hidup, masih jujur, dan masih mahu menjadi manusia yang baik. Kalau tidak, kita tidak akan ambil pusing pun tentang semua ini.
Tapi Allah Maha Halus. Kadangkala, orang seperti ini Allah hadirkan bukan untuk menghukum kita, tapi untuk mendidik kita tentang erti batas emosi (emotional boundaries). Untuk mengajar kita:
✅ Bahawa tidak semua perbualan perlu kita dengar.
✅ Bahawa tidak semua “sangkaan” perlu kita hayati.
✅ Bahawa kita berhak untuk keluar dari ruang yang merosakkan jiwa walaupun kita tak disakiti secara langsung.
Maka, meletakkan batas bukan bermakna kita jahat. Ia adalah cara untuk menyayangi diri sendiri demi menyelamatkan perasaan yang Allah amanahkan. Self Love!
---
🌷 Jangan takut untuk menjadi terang, hanya kerana berada di sebelah seseorang yang hidup dalam bayang-bayang sangkaan.
🌷 Jangan padamkan cahaya empati mu, hanya kerana orang lain selalu menyangka buruk pada semua yang bersinar.
Comments
Post a Comment